Ahad, 28 November 2010

SEKITAR PROGRAM KEMASYARAKATAN BANK RAKYAT BERSAMA JKKK


 








Pada 26 & 27 November 2010, telah berlangsung dua program keagamaan yang besar di Kg Batang Benar. Program Majlis Khatam Al-Quran & Majlis Berkhatan Beramai-ramai. Program ini telah mendapat tajaan daripada Bank Rakyat dan mendapat kerjasama daripada JKKK, Komuniti Bestari, dan Masjid As-Sidiqqin Kg. Batang Benar. Kemuncak program adalah bermula jam 8.00 pagi di mana Majlis Berkhatan dilaksanakan. 

Bermula dengan perarakan diselit paluan kompang, seramai 50 orang kanak-kanak yang akan berkhatan telah diraikan. Selain daripada dapat berkhatan, setiap kanak-kanak juga telah mendapat buku akaun simpanan Bank Rakyat di mana RM20.00 telah dikreditkan di dalam akaun masing-masing. Sebelum berkhatan dijalankan, kesemua kanak-kanak telah disiram dengan pancutan air bomba oleh pihak Bomba. 

Pada masjlis ini, Y.Bhgia Tuan Hj. Nazaruddin b. Zainal Abidin, selaku Ketua Wilayah Selatan, Bank Rakyat telah menyempurnakan perasmian program Majlis Berkhatan Beramai-Ramai yang julung-julung kali diadakan ini. Selain daripada itu, tetamu kehormat yang turut hadir ialah Dato; Hj. Ishak b. Ismail selaku Ketua UMNO Bahagian Seremban yang begitu gembira dengan program yang dilaksanakan ini. 

Ucapan sekalung penghargaan kepada pihak Kolej Universiti MasterSkill yang bersama-sama memeriahkan majlis dengan menyediakan pelajar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk semua tetamu yang hadir. Selain daripada itu, pihak JKKK mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang seperti syarikat Nilai Bersih Sdn Bhd, Kilang Getah di Kg. Batang Benar serta penyumbang-penyumbang yang tidak disebutkan nama. 

Semoga aktiviti kemasyarakatan sebegini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang demi kebaikan seluruh penduduk di dalam Khariah Kg. Batang Benar.

Isnin, 15 November 2010

MAJLIS KONVOKESYEN TABIKA KEMAS BATANG BENAR 1 & 2


Pada 11hb November 2010 yang lalu, telah berlangsung satu Majlis Konvokesyen & Penyampaian Hadiah Kanak-kanak Tabika KEMAS Batang Benar 1 & 2. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Hj. Ishak b. Ismail selaku Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Dalam ucapan beliau, beliau menegaskan bahawa anak2 perlu dijaga, diasuh serta dibimbing dengan pebuh kasih sayang serta didikan akhlak yang sempurna. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menentukan hala tuju kecemerlangan anak-anak demi melahirkan insan yang seimbang daripada pelbagai aspek terutamanya kerohanian. Di dalam majlis itu juga, YBhgia Dato' Hj Ishak berjanji akan membantu menyalurkan dana bagi pembinaan bangunan tambahan Tabika KEMAS Batang Benar 1 & 2 di mana terdapat satu kelas Tabika yang masih menyewa di taman berhampiran.

Pihak JKKK dan AJK Tabika KEMAS Batang Benar mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran Yang Berbahagia Dato' Hj. Ishak dan ibu bapa anak2 tabika yang sudi memeriahkan majlis berkenaan.

Ahad, 7 November 2010

MAJLIS BERKHATAN & KHATAM AL-QURAN

Dijemput semua ahli Qaryah Kampung Batang Benar bersama-sama mengimarahkan program yang bakal dilaksanakan kelak.. Program ini adalah hasil kerjasama antara Bank Rakyat dan JKKK bersama Masjid As-Sidiqqin, Batang Benar.